Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
archery memanah
Skuad memanah compound lelaki negara hanya dipisahkan satu mata daripada merangkul pingat emas Sukan SEA buat kali keempat berturut-turut, selepas tewas kepada Indonesia pada aksi penentuan emas yang mendebarkan di sini, hari ini. Foto: nenetus

Indonesia calar impian skuad memanah raih emas keempat berturut-turut

ByBernama

HANOI, 19 Mei: Skuad memanah compound lelaki negara hanya dipisahkan satu mata daripada merangkul pingat emas Sukan SEA buat kali keempat berturut-turut, selepas tewas kepada Indonesia pada aksi penentuan emas yang mendebarkan di sini, hari ini.

Kekalahan itu menyaksikan trio negara diketuai pemanah senior Mohd Juwaidi Mazuki bersama dua junior – Wong Co Wan dan Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli tidak berjaya mempertahankan emas compound berpasukan lelaki yang diraih Malaysia sejak edisi 2015 di Singapura.

Pada aksi berlangsung di lapang sasar memanah di Pusat Latihan Sukan Hanoi itu, mereka terpaksa berpuas hati membawa pulang perak selepas tewas 229-230 kepada Prima Wardhana Winsu, Hendika Putra Pratama dan Deki Hastian Adika.

Pingat gangsa acara itu diraih Paul Marton Dela Cruz Santos, Florante Matan Flor dan Andrei Johann Olaño Feliciano dari Filipina.

“Kalau ikut dari segi latihan memang kita ada peluang besar (di sini) tapi bukan rezeki. Kita tak boleh nak lawan takdir jadi kali ini saya sangat berbangga dengan pasukan walaupun mereka junior. Saya harapkan yang lebih baik buat mereka di masa hadapan,” kata Mohd Juwaidi kepada pemberita.

Pada masa sama, beliau berbangga dengan keputusan dicatat pasukan meskipun tanpa dibarisi pemanah berpengalaman.

Malah beliau enggan menganggap keputusan ini sebagai kekalahan, sebaliknya ia adalah satu ujian kepada pasukan untuk membaiki kekurangan.

“Kalau ikutkan skor di final Sukan SEA sebelum ini, skor kali ini lebih baik dan biasanya dengan skor seperti ini kita akan menang tetapi nasib tidak berpihak kami, jadi mereka (junior) dapat timba ilmu baharu yang amat bermakna pada penampilan pertama mereka.

Sementara itu, Alang Ariff yang tidak dapat menahan kekecewaan sehingga dilihat menangis sebelum ditenangkan rakan sepasukan, memohon maaf kerana tidak dapat menghadiahkan emas buat negara. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan