KUCHING, 19 Mei : Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan Jabatan Muzium Sarawak sedang dalam usaha untuk mencadang dan mewartakan Kubu Ranee sebagai salah satu bangunan warisan Sarawak di bawah Ordinan Warisan Sarawak 2019 (Sarawak Heritage Ordinan 2019), demikian kata Timbalan Menteri, Datuk Snowdan Lawan.
“Kementerian akan berusaha memperolehi peruntukan untuk membaik pulih Kubu Ranee agar dapat dijadikan sebagai mercu tanda Saratok dan juga sebagai satu destinasi pelancongan di Sarawak,” kata Snowdan.
Snowdan berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri pada Persidangan Hari Ketiga Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Untuk rekod Kubu Ranee atau Fort Ranee telah memainkan peranan yang penting sebagai pejabat pentadbiran sejak dibina oleh Charles Brooke pada tahun 1888.
Pada suatu ketika dahulu, kata Snowdan, ia telah dijadikan sebagai Pejabat Majlis Daerah Saratok sebelum dijadikan Pusat Internet Komuniti pada tahun 2014. – TVS