KUCHING, 19 Mei: Penyanyi dan bekas ratu cantik Malaysia 2014, Dewi Liana Seriestha dan ayahnya, guru vokal Yudhi Seriestha bakal berkongsi ilmu dan kepakaran mereka dengan bakat-bakat baru dalam sebuah bengkel seni vokal, di sini pada hujung minggu ini.
Bengkel Talent Seni Vocal anjuran bersama oleh Majlis Seni Sarawak (MSS) dan Bengkel Talent Seni Sarawak (BTSV) ini buat julung kalinya akan menampilkan Yudhi sebagai tenaga pengajar.
Dewi, yang merupakan pengasas BTSV, akan berkongsi pengalamannya semasa beliau memenangi beberapa pingat di World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles, California dan Miss Talent pada pertandingan Miss World 2014 di London, England.
“Seramai 40 hingga 50 orang peserta dari umur 12 tahun sehingga 72 tahun akan menghadiri bengkel itu,” kata Yudhi ketika dihubungi TVS.
Bengkel seni vokal itu akan diadakan di tingkat bawah Riverside Shopping Complex pada Sabtu dan Ahad ini dari jam 9 pagi hingga 4 petang.
BTSV diasaskan pada 1990 di Kuching dan sehingga kini telah mempunyai kira-kira 2,000 orang murid. – TVS