KUALA LUMPUR, 19 Mei : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju memberi bantuan bulanan RM200 untuk enam bulan kepada pesawah sementara menunggu hasil tuaian.
Beliau berkata bantuan itu telah dibincangkan bersama dengan Kementerian Kewangan dan akan dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang dijangka dibentang pada Oktober ini.
“Sebanyak RM200 untuk tiga bulan untuk dua musim iaitu enam bulan bagi membantu mereka sementara menunggu padi dituai,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Ke-48 di sini malam tadi.
Ismail Sabri berkata sebelum ini, penoreh getah mendapat bantuan musim tengkujuh kerana tiada pendapatan selama tiga bulan iaitu pada November, Disember dan Januari.
“Masa tu saya Menteri (ketika menerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) dan nelayan juga terima elaun daripada RM200 kepada RM300 termasuk nelayan darat. Saya terkejut pesawah tak dapat,” katanya.
Semasa membentangkan Belanjawan 2018, kerajaan telah mengumumkan bantuan bulanan RM200 kepada pesawah dalam tempoh tiga bulan sementara menunggu hasil tuaian.
Mengulas isu kawalan harga ayam dan telur di negara ini, Ismail Sabri mengesyorkan NAFAS menguasai sepenuhnya rantaian pengeluaran bekalan bahan makanan itu supaya dapat membantu kerajaan dan mengelak daripada ‘diugut’ oleh pengeluar bekalan berkaitan harga.
“Saya setuju NAFAS menguasai rantaian pengeluaran ayam yang bukan sahaja daripada ayam tetapi anak ayam malah makanan ayam juga, dan saya harap rantaian ini dikuasai NAFAS.
“Ahli NAFAS juga mencukupi, ada sejuta dan boleh masuk pasaran (pengeluar bekalan ayam) dan saya sudah beritahu menteri bahawa kita (kerajaan) tidak boleh biarkan (diri) sentiasa diugut pengeluar ayam sebab itu, saya minta NAFAS dan pengeluar pasaran ayam ini dikuasai oleh kita supaya tidak diugut oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Ismail Sabri turut mengumumkan bahawa kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan meluluskan peruntukan RM4.47 juta daripada Tabung Bencana Pertanian bagi membantu 29 Pertubuhan Peladang dan 483 ahli yang terjejas akibat bencana alam tahun ini. -TVS