SARIKEI, 18 Mei: Seorang pengutip kotak terpakai maut selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda dalam satu kemalangan di Jalan Repok di sini, petang semalam.
Insiden kira-kira pukul 6.50 petang itu mengakibatkan mangsa warga emas, Ting Chin Wong, 73, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Bingkok John berkata, kemalangan berlaku ketika pemandu kenderaan jenis Toyota Hilux berusia 50 tahun dalam perjalanan dari Jalan Bulat menghala ke pusat bandar Sarikei.
“Bagaimananpun, sebaik sahaja tiba di kilometer tiga Jalan Repok, dia dipercayai melanggar mangsa yang dilaporkan tiba-tiba melintas jalan. Kejadian menyebabkan lelaki warga emas itu terpelanting ke atas jalan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, kejadian mengakibatkan cermin pacuan empat roda itu retak dan lampu hadapannya retak sementara pemandunya, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Hasil siasatan awal di tempat kejadian, Polis mendapati mangsa disyaki memberhentikan motosikalnya sebelum menuju ke tengah jalan untuk mengambil selonggok kotak yang dipercayai terjatuh di atas jalan semasa membelok ke Jalan Punai.
“Siasatan ke atas kes ini dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” jelasnya.- TVS