BETONG, 18 Mei : Seorang lelaki cedera apabila tersepit dalam kemalangan membabitkan dua buah lori dan sebuah kenderaan lain di Jalan Tanjung Assam di sini, pagi tadi.
Insiden yang dipercayai berlaku pada jam 9.00 pagi itu mengakibatkan mangsa yang berusia 48 tahun tersepit di bahagian kaki di dalam salah sebuah lori yang terlibat.
Ketua Balai dan Penyelamat (BBP) Betong, Penolong Penguasa Bomba, Vincent Baling Yabi ketika dihubungi berkata, kemalangan berlaku ketika lori yang dipandu mangsa dan sebuah lagi lori lain dalam perjalanan dari Tanjung Assam menghala ke bandar Betong.
“Kedua- dua lori yang sarat dengan muatan pasir ini dalam perjalanan ke arah yang sama. Bagaimanapun, kemalangan berlaku ketika mereka menuruni selekoh yang berbukit.
“Sementara itu, sebuah lagi kenderaan kereta Proton Saga kemalangan kendiri ketika cuba mengelak lori yang datang dari arah bertentangan itu,”. jelas nya.
Beliau berkata, sepasukan anggota BBP Betong bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 9.04 pagi dan sebaik tiba di lokasi, bomba mendapati mangsa masih berada di dalam lori berkenaan.
“Pasukan bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk melepaskan kaki dan mengeluarkan mangsa dari kenderaan. Mangsa kemudiannya dikejarkan ke hospital menggunakan ambulan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS),” katanya.
Beliau menambah, dua lagi mangsa yang masing- masing memandu lori dan kereta terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. – TVS