KUCHING. 18 Mei : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii hari ini menyalurkan sumbangan kepada 148 buah rumah panjang di kawasannya sempena perayaan Hari Gawai yang bakal disambut tidak lama lagi.
Sumbangan tersebut menurut beliau merupakan sebahagian daripada program Bantuan Projek Pintu di Sarikei dan setakat ini, secara keseluruhannya sebanyak 2,223 pintu telah menerima sumbangan berkenaan.
Bantuan Projek Pintu merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam usaha memastikan kesejahteraan penduduk di kawasan DUN Repok terbela.
Ujarnya, penduduk di rumah panjang khususnya di DUN Repok pastinya merancang pelbagai aktiviti dalam meraikan Gawai yang bertujuan memeriahkan perayaan berkenaan dengan cara tersendiri.
Justeru, kerajaan negeri telah menghulurkan bantuan bagi membolehkan mereka meraikan perayaan berkenaan selepas dua tahun tidak berpeluang menyambutnya dengan sempurna, berikutan negara berdepan pandemik COVID-19.
Tambah beliau, penduduk di kawasan Repok berterima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana amat memahami keperluan rakyat khususnya di kawasan beliau.
Pada masa yang sama, beliau menyeru agar penduduk kekal berwaspada dan mengutamakan aspek keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini sepanjang sambutan perayaan berkenaan.-TVS