HANOI, 16 Mei: Malaysia akan membuat perhitungan menentang juara bertahan, Vietnam di peringkat separuh akhir acara bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31 yang dijadual berlangsung di Stadium Viet Tri di wilayah Phu Tho, Khamis ini.
Ia selepas skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan menamatkan saingan Kumpulan B di tempat kedua di belakang pendahulu, Thailand yang akan berdepan Indonesia pada satu lagi aksi separuh akhir dalam persaingan memburu pingat emas temasya sukan dwitahunan itu.
Skuad kebangsaan di bawah bimbingan Brad Maloney sebelum ini diramal mampu menamatkan saingan kumpulan selaku juara selepas memulakan kempen dengan cemerlang apabila melakar kemenangan 2-1 berdepan Thailand dan menundukkan Laos 3-1.
Namun, pasukan negara sekadar mengutip satu mata pada dua aksi terakhir selepas seri 2-2 masing-masing menentang Singapura dan Kemboja sekali gus mengumpul lapan mata keseluruhan sebagai naib juara.
Sementara Thailand bangkit daripada kekecewaan tewas di tangan pasukan negara untuk merakam tiga kemenangan berturut-turut masing-masing 5-0 menewaskan Singapura, Kemboja (5-0) sebelum mengatasi Laos 1-0 pada aksi terakhir yang berlangsung hari ini.
Pertembungan Malaysia dan Vietnam ibarat ulangan aksi separuh akhir edisi 2005 di Filipina yang menyaksikan pasukan lawan menang 2-1 dan skuad kebangsaan menamatkan saingan dengan meraih pingat gangsa selepas menewaskan Indonesia 1-0 pada perlawanan penentuan tempat ketiga.
Malah, Malaysia juga terkandas di tangan Vietnam di peringkat sama pada edisi 2003 di sini, selepas tumbang 3-4 dan turut membawa pulang gangsa dengan mengatasi Myanmar.
Namun, dendam dua kekalahan itu berjaya dilunaskan apabila Malaysia membenam Vietnam 1-0 di pentas final untuk merangkul emas edisi 2009 di Laos.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan SEA pada edisi 2011 di Indonesia sewaktu dibimbing Datuk Ong Kim Swee.
Pencapaian terbaik Malaysia selepas itu adalah muncul naib juara seterusnya membawa pulang pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur juga di bawah kendalian Kim Swee, sebelum tersingkir seawal peringkat kumpulan di Filipina pada edisi 2019. – TVS