SIBU, 17 Mei: Seorang pembonceng maut digilis sebuah lori selepas motosikal yang dinaikinya hilang kawalan di Jalan Sungai Bidut, dekat sini tengah malam Isnin.
Dalam kejadian pada pukul 12.40 tengah malam itu, mangsa Steward Sari, 53, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Bingkok John berkata, kemalangan itu turut mengakibatkan penunggang motosikal berusia 57 tahun jatuh ke bahu kiri jalan dan cedera di bahagian muka.
“Siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang dinaiki mereka berdua hilang kawalan sebelum mangsa terjatuh ke lorong bertentangan dan telah digilis sebuah lori,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, penunggang motosikal hanya sempat melihat sebuah lori bergerak terus menghala ke pusat bandar dan tidak berhenti selepas kemalangan tersebut.
Mayat mangsa kemudian di hantar ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut manakala penunggang yang cedera menerima rawatan di Unit Kecemasan dan Trauma di hospital sama.
Difahamkan, kedua-dua mangsa berasal dari Rumah Thomas di Bawang Assan dekat sini.
Sehubungan itu , Bingkok berkata, pihaknya melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Sibu kini sedang mengesan pemandu lori yang disyaki terlibat dalam kemalangan tersebut.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Balai Polis Trafik Sungai Merah di talian 084-217901.
“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya. – TVS