Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dr Mahathir Mohamad umum beliau akan kekal bertanding di kerusi Parlimen Langkawi. Foto Bernama.

Tun M ulang pendirian PRU15 belum sesuai diadakan dalam masa terdekat

LANGKAWI, 16 Mei : Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendiriannya bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih belum sesuai diadakan dalam masa terdekat walaupun jumlah kes harian jangkitan COVID-19 dilihat semakin terkawal ketika ini.

Menurut beliau, langkah berjaga-jaga perlu terus diambil bagi mengelakkan wabak itu kembali menular sehingga meningkatkan kembali jumlah kes jangkitan di negara ini.

“Kita harus berjaga-jaga. Kita harus ingat apa berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Pada masa itu jumlah kes (COVID-19 di negara ini) rendah tapi bila diadakan PRN Sabah ia menyebabkan berkembang penyakit ini.

“Kes COVID-19 (kini dilihat) berkurangan tetapi kita perlu jaga juga, macam pakai pelitup muka itu perlu diteruskan dan tidak berkumpul terlalu dekat…, jika tidak angka itu (jumlah kes) akan meningkat semula,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis jamuan Hari Raya Parlimen Langkawi di sini hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu diminta mengulas sama ada PRU15 sesuai diadakan dalam masa terdekat berikutan kes harian jangkitan COVID-19 di negara ini semakin terkawal.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia kini adalah sebanyak 4,475,873 kes dengan 29,762 kes aktif.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata pematuhan kepada prosedur operasi standard masih perlu dititikberatkan bagi mengelakkan peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 di negara ini, selain risiko serangan varian baharu wabak itu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan