HANOI, 16 Mei : Muhammad Khairi Adib Azhar menyumbangkan pingat emas buat skuad silat negara dalam aksi penuh dramatik final silat tanding kelas B Lelaki (50-55kg) pada Sukan SEA ke-31 di sini hari ini.
Ketika Khairi Adib ketinggalan sembilan mata dengan masa pertarungan berbaki empat saat pada kedudukan 50-59, tindakan lawannya Khoirudin Mustakim melakukan sepakan di bahagian muka membawa padah kepada pesilat dari Indonesia itu.
Setelah meneliti rakaman video, juri memutuskan untuk menolak 10 mata daripada Khoirudin kerana melanggar peraturan pertandingan sekali gus memberi kelebihan satu mata kepada Khairi Adib dan kedudukan 50-49 berpihak kepada pesilat negara itu kekal sehingga tamat pertarungan.
Pencapaian pesilat negara berusia 20 tahun itu sekali gus meneruskan legasi bapanya Azhar Ahmad yang pernah memenangi pingat emas ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2001.
Ketika ditemui pemberita, Khairi Adib berkata beliau sangat bersyukur atas kejayaan tersebut kerana misinya di Hanoi adalah untuk meraih pingat emas selepas hanya memenangi gangsa pada edisi 2019 di Manila setelah tumpas kepada lawan yang sama di peringkat separuh akhir.
Ditanya sama ada kemenangannya disebabkan nasib kerana lawannya dikenakan penalti 10 mata, Khairi Adib berkata perkara itu tidak timbul kerana beliau sememangnya memberi tentangan sejak permulaan sehingga tamat pertarungan.
“Ketika ketinggalan (dengan hanya empat saat berbaki), saya cuba tenangkan fikiran dan berserah kepada Allah SWT, dan alhamdulilah saya berjaya memenangi pingat emas,” katanya yang turut berterima kasih kepada jurulatih Mazlan Shaari dan pesilat senior yang sentiasa memberi tunjuk ajar.
Khairi Adib berkata ibu bapanya turut menitipkan pesanan sebelum berlepas ke Hanoi supaya beliau melakukan yang terbaik dan mengharumkan nama negara.
Sementara itu, aksi dua pesilat wanita negara di pentas final serba tidak menjadi dan terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Srikandi silat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir yang juga juara dunia empat kali dan diletakkan harapan meraih pingat emas di Hanoi tumpas 32-39 di tangan peserta tuan rumah Quang Thi Thu Nghia dalam kelas F Wanita (70-75kg).
Sementara, Siti Shazwana Ajak yang membuka gelanggang acara final hari ini, tewas 22-30 kepada pesilat Singapura Nurul Suhaila Mohamed Saiful dalam kelas E Wanita (65-70kg).
Seorang lagi pesilat Malaysia Billage Nakang akan turun bertarung dalam final kelas Terbuka Lelaki (110kg) menentang pesilat Vietnam Le Van Toan, petang ini. -TVS