SAN DIEGO, 15 Mei : Seekor zirafah bernama Msituni, berusia tiga bulan yang mengalami kesukaran berjalan dan berdiri telah menerima pendakap kaki di Zoo San Diego, lapor Reuters.
Pendakap kaki itu ‘dipasang’ dengan kerjasama Klinik San Diego Company Hanger yang bertujuan untuk membetulkan anggota badannnya.
Kerjasama itu juga menyaksikan Msituni dipasang pendakap ortotik yang sesuai untuk membetulkan tulangnya.
Pakar veterinar, Matt Kinney berkata, pendakap kaki itu dipasang secara sementara sebelum ditukar dengan yang baharu.
“Kami mendapati pendakap itu tidak cukup kuat untuk menampung pergerakan zirafah ini,”katanya.
Katanya, pendakap yang sesuai untuk Msituni diperbuat daripada grafit karbon acuan yang dihiasi dengan corak zirafah untuk membolehkan Msituni sebati dengan persekitarannya.
Beliau turut berkongsi perkembangan kejayaan rawatan susulan apabila kaki Msituni berjaya ‘diperbetulkan’ dan pendakap kakinya telah ditanggalkan.
Zoo berkenaan sebelum ini menjelaskan peluang Msituni untuk terus hidup akan menjadi sangat rendah tanpa rawatan itu. – TVS