KUALA LUMPUR, 15 Mei : Pindaan Perlembagaan UMNO bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) bertujuan memberi ruang kepada parti mengorak langkah dan menyusun strategi tanpa bergelut dengan masalah dalaman.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu juga adalah amanah dan tanggungjawab kepada kelangsungan parti yang menutut semua pihak berlapang dada dan berjiwa besar, bagi memastikan UMNO terus mekar menuju ke satu abad perjuangan.
“Pindaan Perlembagaan ini mesejnya amat jelas iaitu kita mahukan kestabilan UMNO untuk menghadapi PRU15, mengembalikan maruah perjuangan dan mempersiapkan pewaris kesinambungan sebuah perjuangan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Khas UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan ketiga-tiga Naib Presiden UMNO iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pindaan Perlembangaan UMNO yang melibatkan Fasal 10.16 itu dibentangkan oleh Mohamed Khaled.
Ahmad Zahid berkata pindaan Perlembangaan UMNO kali ini adalah manifestasi suara akar umbi yang mahu parti itu kukuh dan berpadu, seterusnya memberi ruang kepada pasukan atau kepimpinan di semua peringkat memfokuskan gerak kerja menghadapi PRU.
Beliau berkata setelah PRU selesai, pemilihan parti akan dijalankan dan pasukan baharu yang dipilih mempunyai masa maksimum lima tahun untuk menumpukan tenaga dan gerak kerja agar kestabilan parti terus terpelihara bagi menghadapi PRU seterusnya.
Ahmad Zahid juga membidas dakwaan segelintir ahli UMNO yang mengatakan pindaan Perlembangaan parti itu dibuat untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai presiden parti.
“Suka saya tegaskan, ia tidak benar. Dangkallah jika ada dalam kalangan kita, termasuk saf kepimpinan tertinggi parti, berpandangan dan berfikiran sempit sedemikian.
“Jangan kita buat-buat lupa, gesaan agar pemilihan parti diadakan selepas PRU adalah usul daripada majoriti (UMNO) Bahagian yang mengadakan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian masing-masing seterusnya diangkat ke Perhimpunan Agung UMNO dua bulan lepas sebelum dipersetujui dan diluluskan,” katanya.
Presiden UMNO itu menegaskan, dalaman parti yang tidak tenteram, berpecah, berpuak dan berkelompok menyebabkan UMNO menjadi kucar kacir yang akhirnya merugikan parti.
Ahmad Zahid juga berkata sejak tahun 1990 sehingga kini, sebanyak tiga kali pindaan Perlembagaan telah dilaksanakan, yang berkaitan dengan soal pemilihan iaitu pada tahun 1987, 1998 dan 2009.
“Inilah fasa-fasa yang berlaku di dalam UMNO yang mematangkan kita dan memantapkan parti untuk terus relevan di persada politik tanah air,” katanya.
UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas.
Jika dihitung, tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO penggal 2021/2023 perlu diadakan sebelum 30 Dis 2022.
Bagaimanapun Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada Mac lepas bersetuju agar pemilihan parti ditangguhkan sehingga enam bulan selepas PRU15 bagi membolehkan parti memberi tumpuan kepada pilihan raya itu.-TVS