KUCHING, 15 Mei : Mesyuarat kedua penggal pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 akan berlangsung selama lapan hari bermula 17 hingga 26 Mei ini.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, tiga Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentang iaitu RUU Perbekalan Tambahan (2022), RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2022 dan RUU Perhutanan (Pindaan) 2022.
“RUU Perbekalan Tambahan (2022) akan dibentang oleh Timbalan Premier I, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
“Kedua, RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2022 akan dibentang oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan yang ketiga, RUU Perhutaan (Pindaan) 2022 dibentang oleh Timbalan Premier II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat dengan wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sementara itu, Mohammad Asfia memberitahu, RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2022 yang akan dibentangkan pada Rabu ini tidak mempunyai kaitan dengan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
“RUU ini perkara baharu,”katanya.
Mohamad Asfia berkata, sebanyak 347 soalan akan dikemukakan pada persidangan itu dengan 284 soalan untuk jawapan lisan dan 63 lagi soalan jawapan bertulis.
Persidangan pada Rabu ini akan turut diadakan pemilihan senator baharu memandangkan penggal kedua Senator Datuk Zaiedi Suhaili akan tamat pada 18 Julai depan.-TVS