KUCHING, 15 Mei : Kerajaan Sarawak belum memutuskan sama ada untuk mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) untuk pub dan kelab malam seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) baru-baru ini.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dijangka akan bermesyuarat tidak lama lagi untuk memuktamadkan perkara itu.
“JPBN Sarawak mempunyai dasar kita sendiri, tidak semua yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan sesuai untuk dilaksanakan di Sarawak,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Wesak peringkat Sarawak di sini hari ini.
Pada 12 Mei lepas, KPKT mengeluarkan Garis Panduan Protokol Operasi Pub dan Kelab Malam Berlesen yang antaranya mewajibkan pelanggan melakukan ujian kendiri COVID-19 dalam tempoh 24 jam sebelum memasuki premis bermula hari ini.
Garis panduan sama juga menyatakan bahawa sekiranya pengunjung tidak melakukan ujian, pengendali premis boleh melaksanakan ujian pantas antigen.
Ditanya tentang faktor JBPN masih belum memutuskan perkara itu, Kui Hian berkata, ini kerana Pengerusi JPBN, Datuk Amar Douglas Uggah Embas baharu pulang dari luar negara.
“Oleh itu, kami akan membincangkan mengenai perkara ini dan keputusan akan dimaklumkan tidak lama lagi,”katanya. -TVS