DALAT, 15 Mei : Seorang penjawat awam membuktikan sikap jujur masih wujud di kalangan rakyat di negeri ini apabila memulangkan telefon bimbit yang dijumpainya.
Lebih mengharukan, Shahrul Radhi Kisin, petugas di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Mukah turut berusaha mencari pemilik alat telekomunikasi itu dengan ‘menghebahkan’ menerusi media sosial.
Bertambah menarik, telefon bimbit itu sebenarnya milik Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintenen (DSP) Saga Chunggat.
Saga berkata, beliau berasa sangat terharu dengan sikap jujur dan bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh Shahrul Radhi.
“Saya menganggap Shahrul Radhi sebagai role model kepada kita semua.
“Pada masa sama, saya berterima kasih kerana segala nombor telefon penting dan maklumat berkaitan kerja disimpan dalam telefon pintar berkenaan,”katanya.
Saga berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sijil penghargaan kepada lelaki itu yang berasal dari Kampung Sungai Kut Tengah, di sini.
Menurut Saga, telefon bimbitnya disedari hilang pada 1 Mei lepas.
“Saya berharap contoh yang baik ini diikuti oleh masyarakat setempat,”katanya. -TVS