MIRI, 15 Mei : Seorang lelaki ditahan polis kerana disyaki mencuri wang berjumlah RM1,200 milik ibunya dalam kejadian di Kampung Muhibbah di sini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Polis (ACP) Alexson Naga Chabu berkata,  suspek berusia 36 tahun itu ditahan di Vista Perdana pada pukul 11.40 pagi tadi.
“Penangkapan suspek dibuat susulan laporan dibuat oleh seorang wanita yang mendakwa semasa dia menjemur pakaian, anak lelakinya memasuki bilik tidurnya untuk mencari barang berharga.
“Pemeriksaan mendapati wang tunai RM1,200 miliknya lesap,”katanya dalam satu kenyataan.
Alexson berkata, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. -TVS