PUSA, 13 Mei : Seorang wanita maut manakala empat lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Besar Pusa, hari ini.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Gelora Aman, 59, yang menaiki kereta jenis Toyota Camry bersama suami dan anaknya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok , Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Shukur Jamaludin berkata, insiden kira-kira pukul 1 petang itumelibatkan pertembungan antara kereta mangsa dengan sebuah kereta jenis Toyota Avanza.
Katanya, pemandu Toyota Avanza yang berusia 49 tahun dan isterinya patah kaki dan tangan.
“Kejadian ini mengakibatkan mangsa tersepit namun kesemua mereka dikeluarkan orang awam sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pusa menggunakan kenderaan awam.
“Menurut maklumat polis, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke klinik,” katanya.-TVS