BAITULMAQDIS, 14 Mei : Seolah -olah tidak peduli kecaman masyarakat antarabangsa berhubung pembunuhan wartawan Palestin, Shireen Abu Akleh, tentera Israel terus bertindak biadap ketika upacara pengembumian wanita berkenaan.
Menerusi video yang tular, tentera Israel dilihat mengasari orang awam yang mengusung keranda Shireen di perkarangan hospital di Baitulmaqdis.
Perbuatan tentera Zionis itu mendapat kecaman pengguna media sosial termasuk selebriti terkenal Bella Hadid yang menyuarakan kemarahan menerusi Instagramnya.
Abu Akleh, wartawan berpengalaman yang sering membuat liputan isu Palestin dan krisis di Timur Tengah ditembak mati di Tebing Barat sewaktu bertugas pada Rabu lepas.
Menurut saksi , wanita itu ditembak oleh askar Israel.

Menerusi video tular hari ini, anggota polis Israel juga dilihat memukul dan menendang orang awam yang sedang berkabung.
Polis Israel dalam satu kenyataan berkata bahawa mereka ‘terpaksa’ bertindak kerana orang awam bertindak ganas dengan membaling batu dan botol kaca dan membuat laungan bersifat hasutan.
Tidak lama selepas kejadian itu, keranda Abu Akleh telah diletakkan di dalam kenderaan dan menuju ke Cathedral of the Annunciation of the Virgin di Kota Lama Baitulmaqdis.
Upacara pengebumian beliau telah berlangsung dengan aman. – TVS