KUCHING, 13 Mei : Kerajaan Sarawak merancang untuk memberi subsidi kepada petani di negeri ini berdasarkan kriteria tertentu bagi membantu mereka mengembangkan kegiatan ekonomi masing – masing.
Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, antara perkara yang akan dinilai termasuklah prestasi baik yang telah dipamerkan oleh golongan petani.
“Sokongan dan bantuan ini akan diberikan supaya petani di Sarawak dapat melihat masa depan yang lebih terjamin dalam sektor ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rakaman Program Aco Lepa Ajau Birami Gawai Sayu Adau Ledoh di Auditorium P. Ramlee , Stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin.
Mengulas lanjut mengenai bantuan berkenaan, Stephen Rundi berkata, ia bukan bersifat kekal.
“Subsidi ini hanya untuk sementara waktu kerana kita mahu melatih para petani berdikari serta tidak bergantung kepada bantuan kerajaan negeri semata -mata,” katanya.
Sementara itu, Stephen Rundi turut memaklumkan bahawa nelayan di negeri ini juga akan diberi bantuan sewajarnya oleh kerajaan negeri ketika musim tengkujuh.
“Nelayan di Sarawak, kita bantu selama lima bulan namun bantuan ini bukan jalan penyelesaian total kerana kerajaan negeri juga ingin melihat mereka berdikari,”katanya. -TVS