Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Malaysia seri 2-2 menentang Singapura pada aksi ketiga Kumpulan B di Stadium Thien Truong di sini, hari ini.Foto Bernama.

Bola Sepak Sukan SEA, Harimau Malaya dan Singa ‘sama kuat’ di Vietnam

NAM DINH (Vietnam), 14 Mei : Malaysia terlepas peluang muncul pasukan pertama mara ke peringkat separuh akhir saingan bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31, selepas seri 2-2 menentang ‘musuh’ tradisi Singapura pada aksi ketiga Kumpulan B di Stadium Thien Truong di sini, hari ini.

Keputusan itu menghentikan momentum kemenangan pasukan negara, susulan dua kemenangan yang diraih ke atas Thailand dan Laos sebelum ini, sekali gus menyaksikan perlawanan terakhir bertemu Kemboja Isnin depan, menjadi penentu dalam memburu slot ke pusingan kalah mati.

Pada aksi yang berlangsung sengit seawal permainan bermula itu, Malaysia tidak menunggu lama untuk berada di depan menerusi penyerang Luqman Hakim Shamsudin, yang bijak mencari ruang dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan kencang pada minit keempat.

Ia merupakan gol ketiga peribadinya pada temasya sukan dwitahunan itu, selepas menamatkan kemarau gol lebih dua tahun di pentas antarabangsa, dengan dua jaringan disumbangkan ketika berdepan Laos Rabu lepas.

Bagaimanapun, tiga minit berselang, Singapura yang turun berkasi dengan misi wajib menang menyamakan kedudukan, selepas percubaan dari luar kotak penalti pemain tengah Nur Muhammad Shah Shahiran, gagal diselamatkan penjaga gol Muhammad Azri Ab Ghani.

Aksi semakin menarik dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan berbahaya, dengan Malaysia memiliki peluang untuk kembali di depan, namun percubaan penyerang Ahmad Danial Ahmad Asri pada minit ke-25, berjaya ditampan penjaga gol yang juga kapten Singapura Zaiful Nizam Abdullah.

Luqman Hakim memiliki peluang keemasan untuk mencetak gol kedua peribadinya pada perlawanan itu, selepas menerima lorongan cantik rakan sepasukan ke dalam kotak penalti, tetapi gagal meletakkan bola melepasi Zaiful Nizam pada minit ke-32.

Menghampiri waktu rehat, Malaysia sekali lagi hampir di depan, namun tandukan pemain pertahanan Harith Haiqal Adam Afkar, sedikit melewati tiang gol dengan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, intensiti permainan terus berada pada tahap tertinggi namun tiada percubaan berbahaya dari kedua-dua pasukan sehingga lah minit ke-76, yang menyaksikan penyerang Singapura Kweh Jia Jin Glenn gagal memanfaatkan peluang keemasan selepas rembatan melambung tinggi.

Dua minit kemudian, pemain tengah Harhys Rizal Gareth Ian Stewart menjadikan kedudukan 2-1 buat Singapura, selepas bijak mencari ruang dalam kotak penalti untuk memanfaatkan sepakan percuma diambil Nur Muhammad.

Namun, jaringan itu tidak sedikit pun melunturkan semangat juang tinggi pasukan negara yang berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Muhammad Faiz Amer Runnizar pada minit ke-82 berpunca dari sepakan sudut.

Jaringan penyamaan itu mengubah perlawanan menjadi tegang, apabila kedua-dua pasukan lebih bertindak agresif dalam mengekang asakan ke kubu pertahanan, sehingga permainan terhenti seketika apabila berlaku insiden tolak menolak antara pemain.

Kedudukan 2-2 itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil dari India R.Ventakesh, sekali gus menyaksikan Malaysia terpaksa berpuas hati sementara Singapura akur peluang ke separuh akhir sudah tertutup buat mereka, selepas hanya mengutip lima mata daripada empat perlawanan.

Malaysia kini mengumpul tujuh mata di kedudukan teratas dengan persaingan merebut dua slot ke pusingan kalah mati masih terbuka antara pasukan negara serta Kemboja dan Thailand, yang bakal turun membuat perhitungan pada satu lagi aksi kumpulan, malam ini.

Pada pertembungan itu, sekiranya salah satu pasukan berjaya melakar kemenangan ia sekali gus menjamin tempat Malaysia ke separuh akhir.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan