WASHINGTON DC 13 Mei : Para saintis semalam mendedahkan foto pertama lohong hitam gergasi di pusat galaksi Bima Saksi.
Lohong hitam itu setakat ini diketahui sebagai ‘raksasa yang menelan’ segala benda yang melalui tarikan gravitinya yang kuat termasuk cahaya.
Reuters melaporkan, lohong hitam yang dipanggil Sagittarius A* atau SgrA* itu merupakan lohong kedua yang berjaya dirakam gambar dalam sejarah.
Kejayaan itu dicapai melalui kerjasama antarabangsa Event Horizon Telescope (EHT), iaitu pihak sama yang mendedahkan foto pertama lohong hitam di galaksi berbeza pada 2019.
Sagittarius A* memiliki 4 juta kali jisim matahari dan terletak kira-kira 26,000 tahun cahaya dari Bumi.
Berikutan tarikan graviti lohong hitam yang terlalu kuat sehingga cahaya tidak dapat melaluinya, usaha melihat lohong hitam menjadi sangat mencabar.
Setiap ‘benda’ termasuk bintang, planet, gas, habuk serta sinaran elektromagnet akan ‘ditelan’ ke dalam lohong hitam.
Bima Sakti ialah galaksi pilin berpalang yang mengandungi sekurang-kurangnya 100 bilion bintang.
Jika dilihat dari atas atau bawah, ia menyerupai kincir angin, dan matahari terletak pada salah satu lengan galaksi pilin dan Sagittarius A* terletak di tengah.
EHT ialah sebuah projek antarabangsa yang diasaskan bermula 2012 untuk memerhati secara langsung persekitaran terdekat lohong hitam.
Pengumuman pada Khamis itu dibuat dalam sidang media serentak di Amerika Syarikat, Jerman, China, Mexico, Chile, Jepun dan Taiwan. – TVS