Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata ekonomi domestik dijangka terus bertambah baik tahun ini, dengan pertumbuhan diunjurkan di antara 5.3 peratus dengan 6.3 peratus seperti yang diumumkan pada Mac 2022.

Malaysia catat pertumbuhan KDNK 5.0 peratus bagi suku pertama 2022 – BNM

KUALA LUMPUR, 13 Mei : Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 5.0 peratus pada suku pertama 2022 berbanding penguncupan 0.5 peratus pada suku yang sama 2021, disokong terutama oleh permintaan domestik yang bertambah baik apabila kegiatan ekonomi terus kembali normal dengan pelonggaran langkah-langkah pembendungan.

Pada kadar ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menetapi unjuran yang dibuat penganalisis ekonomi yang optimis mengenai permintaan domestik yang semakin baik, terutama penggunaan swasta yang membentuk 58.8 peratus daripada ekonomi ini.

Menurut kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Perkembangan Ekonomi dan Kewangan di Malaysia pada Suku Pertama 2022 yang dikeluarkan pada Jumaat, keadaan yang bertambah baik ini juga mencerminkan pemulihan pasaran pekerjaan, dengan kadar pengangguran terus susut kepada 4.1 peratus (suku keempat 2021: 4.3 peratus), di samping sokongan dasar yang berterusan.

Dalam pada itu, sidang media secara fizikal juga diadakan di Sasana Kijang, BNM di sini memandangkan negara sedang berada dalam fasa peralihan ke endemik selain pembukaan semula sempadan antarabangsa mulai 1 April, 2022.

BNM menjelaskan, permintaan luaran yang kukuh berikutan peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan juga memberikan sokongan selanjutnya kepada pertumbuhan.

Mengulas prospek 2022, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata ekonomi domestik dijangka terus bertambah baik tahun ini, dengan pertumbuhan diunjurkan di antara 5.3 peratus dengan 6.3 peratus seperti yang diumumkan pada Mac 2022.

“Unjuran ini disokong oleh permintaan domestik yang lebih kukuh, permintaan luaran yang terus berkembang dan pasaran pekerja yang terus bertambah baik.

“Pertumbuhan juga akan menerima manfaat daripada pelonggaran sekatan, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan pelaksanaan projek pelaburan,” katanya dalam kenyataan yang sama.

BNM menambah, bagaimanapun, risiko terhadap momentum pertumbuhan Malaysia masih wujud.

Risiko itu termasuk pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang semakin meruncing, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk, perkembangan buruk berhubung dengan COVID-19 dan volatiliti pasaran kewangan yang meningkat, jelas bank pusat. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan