KUCHING, 13 Mei : Jururawat memainkan peranan yang sangat penting ketika negara menghadapi pandemik COVID-19.
Sehubungan itu, Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS) Dr. Ngian Hie Ung menyarankan agar profesion jururawat yang sebelum ini merupakan kumpulan perkhidmatan sokongan kategori satu diangkat menjadi kumpulan pengurusan dan profesional untuk menghargai jasa besar mereka.
“Saya percaya kejururawatan harus berada dalam kumpulan profesional.
“Kita melihat di pelbagai negara di dunia, jururawat diletakkan di dalam kumpulan profesional, jadi marilah kita berjuang bersama-sama dengan para jururawat untuk mengetengahkan bidang kejururawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Jururawat Sedunia Peringkat Sarawak di HUS dengan kerjasama Serapi Group, di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Jururawat, Barry Brone, 38, juga bersetuju dengan cadangan untuk meletakkan bidang kejururawatan ini di bawah kumpulan pengurusan dan profesional.
“Kami amat berbesar hati jika sekiranya bidang ini dijadikan sebagai perkhidmatan profesional,” katanya ketika ditemui pemberita.
Bagi Penyelia Jururawat, Andy Lim, 42, pula, dia turut bersetuju dengan cadangan berkenaan namun berpendapat, jururawat perlu menaikkan taraf akademik terlebih dahulu seperti menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi jika ingin memastikan bidang kejururawatan dijadikan bidang profesional.
Sempena Hari Jururawat Sedunia, sebanyak 200 pek makanan, 200 baucer makanan dan 200 baucer potongan harga penginapan di Hotel Serapi turut disumbang kepada warga kerja barisan hadapan yang telah bertungkus lumus sepanjang pandemik COVID-19.-TVS