KUALA LUMPUR, 12 Mei: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengesahkan bahawa beliau telah menerima nama lima doktor di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang didakwa adalah pembuli.
Beliau berkata, siasatan yang telus dan menyeluruh oleh Unit Integriti Kementerian Kesihatan (KKM) akan dijalankan untuk menyiasat tuduhan kes membuli di hospital tersebut, di samping menubuhkan sebuah pasukan petugas bebas seperti yang diumumkannya pada 6 Mei lepas.
Beliau menambah, senarai anggota pasukan petugas khas untuk menyiasat kes buli serta butiran terma dan rujukan akan diumumkan esok (Jumaat).
“Ia adalah pasukan bebas, bukan saya yang mempengerusikannya,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2022 di sini pada hari ini.
Baca lagi > > > Norlela serah nama lima doktor pembuli kepada KKM
Menurutnya, siasatan tersebut akan mengambil masa “beberapa minggu” kerana pasukan petugas perlu menemu bual pengadu-pengadu dan pakar-pakar yang dituduh kerana aduan melibatkan tuduhan yang berat, iaitu kes buli serta etika kerja yang tidak profesional.
Ditanya sama ada lima doktor tersebut akan digantung perkhidmatan buat sementara waktu ataupun tidak, Khairy menjawab kesemua mereka masih bertugas seperti biasa namun siasatan terhadap mereka akan berjalan.
“Bukan senang kita nak transfer pakar, jadi buat masa ini semua bertugas seperti biasa,” katanya.
Beliau menjelaskan, KKM tidak akan membuat keputusan berdasarkan tuduhan semata-mata dan perlu bersikap adil sebelum mengambil apa-apa tindakan.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin, menyerahkan nama lima doktor di HPP yang didakwa adalah pembuli kepada KKM.
Bagaimanapun, Dr Norlela berkata lima doktor itu tidak ada kaitan dengan kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di HPP baru-baru ini kerana kes tersebut masih dalam siasatan.
Pada 17 April lepas, doktor pelatih lelaki berusia 25 tahun itu ditemukan maut, dipercayai akibat terjatuh dari unit kediamannya di bangunan berhampiran, di Jalan Datuk Keramat di George Town, Pulau Pinang.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Maarof Sudin, mengesahkan mangsa adalah Pegawai Perubatan Siswazah yang melapor diri pada 4 April lepas di HPP dan pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan polis. – TVS