KUCHING, 12 Mei: Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi Sukan SEA untuk edisi ke-34 pada 2027 selepas pengumuman itu dibuat oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi laman media sosial pada hari ini.
“Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) sebulat suara memberikan penganjuran Sukan SEA edisi ke-34 pada 2027 kepada Jawatankuasa Olimpik Negara (NOC) Malaysia,” menurut MOM dalam Facebook nya sebentar tadi.
Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat SEAGF yang berlangsung di Hanoi pada pagi tadi dengan pemilihan berdasarkan turutan abjad.
Malaysia kali terakhir menjadi tuan rumah Sukan SEA di Kuala Lumpur pada tahun 2017, di mana kontinjen negara muncul sebagai juara dengan mengutip pingat keseluruhan sebanyak 145 pingat emas, 92 perak, dan 86 gangsa. – TVS