KUCHING, 11 Mei: Kebersihan tandas awam menjadi keutamaan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) setelah pengiktirafan bandaraya Kuching sebagai Bandar Gastronomi.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata kebersihan tandas awam terutamanya di premis makanan akan mempengaruhi reputasi bandaraya secara menyeluruh.
“Bandaraya Kuching telah diiktiraf sebagai Bandar Gastronomi maka akan menarik ramai pelancong dan pelawat.
“Tandas yang buruk dan kotor di sebuah kedai akan beri kesan buruk terhadap nama baik bandaraya selain menganggu selera makan,” katanya semasa berucap di Majlis Penyampaian Sijil Sempena Kempen Kebersihan Tandas Kuching 2022 di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini hari ini.
Seramai 58 premis makanan yang diiktiraf tiga bintang di bawah Projek Sistem Tandas Bertaraf Bintang telah menerima sijil penghargaan kempen tersebut.
Justeru pemilik premis makanan digesa untuk mengutamakan keadaan tandas masing-masing untuk keselesaan pengguna.
Tambahnya, budaya tandas bersih hanya dapat dipupuk sekiranya pengguna fasiliti awam mengubah sikap dan memiliki kesedaran sivik.
“Kempen ini juga adalah untuk mendidik pengguna terutamanya orang awam kepentingan kebersihan dan etika penggunaan tandas awam.
“Perubahan pada sikap memastikan penggunaan kemudahan tandas awam yang betul, amalan bersih dan penggunaan air yang selamat,” katanya. – TVS