BINTULU,11 Mei : Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Sarawak telah menahan seorang lelaki bersama sebuah lori 3 tan dengan muatan 2,000 liter minyak diesel dipercayai cuba memindahkan bahan bakar secara tidak sah.
Suspek berusia 31 tahun terbabit telah ditahan oleh pasukan daripada Unit Risikan Marin (URM) Markas PPMW5 Bintulu di tepi jalan berhampiran simpang Daiken Sarawak Sdn Bhd di Jalan Sibu-Bintulu pada jam 8.20 pagi Selasa.
Komandernya, Zulfikar Mohd Ghazali berkata, anggaran nilai keseluruhan rampasan dalam Op Kontraban tersebut berjumlah RM54,300.
Katanya, suspek lelaki tempatan berusia 31 tahun itu gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen atau kebenaran dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menjalankan aktiviti tersebut.
Siasatan lanjut pegawai operasi juga mendapati suspek tidak memilik permit atau lesen khas untuk membawa barang kawalan itu.
Zulfikar memberitahu rampasan yang termasuk sebuah lori 3 tan, muatan minyak diesel 2,000 liter dan dua buah tangki plastik segi empat itu dianggarkan bernilai RM54,300.
Ujarnya lagi, suspek terbabit bersama barang rampasan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat KPD HEP Bintulu untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
Tambah zulfikar, tangkapan dan barang rampasan juga akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961-TVS