Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Polis Sarawak laksana Op Bugil, banteras sindiket pemerasan penyebaran gambar dan video lucah

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 11 Mei : Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sarawak komited untuk membanteras jenayah pemerasan penyebaran gambar dan video lucah di negeri ini berikutan jumlah kes yang membimbangkan pada tahun 2021 dan awal tahun 2022.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata, pihaknya kini sedang mempergiatkan usaha untuk memburu sindiket terbabit yang menyasarkan kaum lelaki dalam modus operandinya.

“Sindiket ini menggunakan aplikasi media sosial seperti Michat dengan membuat panggilan video dan menyamar sebagai wanita seksi dan kemudiannya melakukan adegan mengghairahkan sehingga mangsa terpedaya dan ikut serta, lalu suspek akan merekod adegan mangsa.

“Mangsa akan diugut untuk membayar sejumlah amaun yang diminta jika tidak mahu gambar dan video tersebut disebarkan,” katanya.

Ujar beliau, pihak polis telah menerima sebanyak 29 laporan melibatkan nilai kerugian sebanyak RM114,730 pada tahun 2021 manakala bagi tahun 2022 pula, sebanyak enam laporan diterima dengan nilai kerugian sebanyak RM22,200.

“Berdasarkan laporan yang kita terima, kita telah membuat tangkapan ke atas enam suspek di sekitar daerah Kuching dan Serian selain merampas barang kes yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah tersebut.

“Hingga kini, menerusi pelaksanaan Op Bugil yang digerakkan dari hari ke hari, kita telah berjaya menyelesaikan empat kes,” kata Mancha.

Sementara itu, pihaknya menyarankan agar orang ramai berhati-hati apabila berkenalan dengan orang yang tidak dikenali di media sosial selain berwaspada apabila menerima panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali.

Pada masa yang sama, beliau menyeru kepada masyarakat untuk memainkan peranan, dengan segera melaporkan kepada polis jika wujudnya unsur jenayah pemerasan melalui penyebaran video atau gambar lucah agar pihak terbabit dapat segera dibawa ke muka pengadilan. – TVS

Berita Berkaitan

No data was found

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan

No data was found