KUCHING, 11 Mei : Skuad Piala Thomas negara dijangka akan menurunkan barisan terkuat menentang Jepun pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan D bagi menentukan juara kumpulan dan pada masa sama membalas dendam pada kekalahan edisi tahun lepas.
Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dijangka akan kembali diturunkan menentang pemain nombor dua dunia, Kento Momota setelah direhatkan pada perlawanan menentang Amerika Syarikat semalam, di samping beregu pertama negara, Aaron Chia/Soh Woii Yik turut akan menjadi sandaran pada malam ini ini.
Skuad negara dilihat berada dalam momentum terbaik untuk mengalahkan Jepun apabila setiap pemain berada dalam prestasi terbaik sejak bermulanya kejohanan tersebut,ditambah pula dengan masalah tahap kecergasan dan masalah kecederaan yang dihadapi oleh skuad Jepun pada ketika ini.
Sementara itu, England dan Amerika Syarikat turut akan bertemu pada petang ini bagi melengkapkan jadual kejohanan setelah impian ke suku akhir kedua-dua negara tersebut terkubur apabila tewas dua perlawanan sebelumnya kepada Malaysia dan Jepun sekaligus menjadi dua pasukan awal yang  tersingkir. – TVS