Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Amplang dan Tebaloi tembusi pasaran Jepun

KUALA LUMPUR, 11 Mei : Siapa sangka amplang iaitu keropok ikan atau udang berbentuk bulat yang terkenal di Sabah dan tebaloi, snek tradisional berasaskan Sagu dari Sarawak, kini berjaya menembusi pasaran Jepun dan mendapat sambutan hangat di negara itu. 

Di bawah jenama Peladang, kedua-dua produk industri kecil dan sederhana (IKS) berkenaan yang masing-masing diusahakan ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tawau, Sabah dan PPK Mukah, Sarawak pada awalnya antara produk yang dipromosi di Ekspo Dubai 2020 pada Februari lepas.

Pengurus Bahagian Pemasaran dan Promosi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Mohammad Fauzie Tamin berkata berikutan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menawarkan untuk mengembangkan lagi pasaran produk berkenaan melalui kerjasama dengan syarikat swasta ke luar negara.

“Inisiatif ini merupakan urus niaga pertama sebagai percubaan pasaran bagi produk amplang dan tebaloi ke pasaran Jepun. Percubaan ini diharap dapat membuka peluang pasaran baharu produk-produk lain hasil keluaran Borneo ke Jepun.

“Alhamdulillah kami dimaklumkan ia mendapat sambutan hangat pada World Food and Beverage Tokyo 2022 (FABEX) di Tokyo, Jepun baru-baru ini. Segala keuntungan disalurkan kepada PPK terlibat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata usaha itu sedikit sebanyak membantu ahli PPK dalam meningkatkan jualan dan pendapatan mereka dan selepas ini, pihaknya akan melihat produk Borneo lain yang turut berpotensi untuk dipasarkan ke negara lain.

Sesi Flag Off Pengeksportan Produk Agromakanan ke Jepun itu yang dikendalikan SD Impex Sdn Bhd selaku koordinator di Malaysia dan SD Impex Japan sebagai syarikat pengurusan eksport (EMC) Malaysia di luar negara disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada 22 April lepas. 

Ronald sebelum ini berkata melalui Pejabat Penasihat Pertanian (PPP) di Tokyo yang dipantau BDI, kerjasama strategik bersama SD Impex Japan Co., Ltd berjaya meningkatkan jumlah eksport sebanyak 992 karton melibatkan 36 unit penyimpanan stok(SKU) terdiri daripada lebih 50,000 unit produk sedia dimakan(RTE), sedia diminum(RTD) dan sedia dimasak(RTC).

Ia adalah keluaran 13 syarikat pengeluar dan usahawan di seluruh negara dan diletakkan di bawah jenama tunggal MyKitchenkata Ronald. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Impex Sdn Bhd Nor Iskandar Naini Hanifah berkata hingga April 2022, sebanyak 70 SKU produk agromakanan terpilih membabitkan pelbagai syarikat pengeluar dan usahawan di bawah IKS tempatan dipromosi dan dipasarkan di Jepun.

Beliau berkata produk yang dibawa dari Malaysia itu dipasarkan menerusi pelbagai platform seperti secara dalam talian, perkhidmatan restoran dan rangkaian peruncitan.

“Bagi platform dalam talian, produk ini wujud dalam lebih 70 peratus pasaran Jepun di bawah platform Halal2Go E-Commerce seperti Halal2Go, Amazon Japan, Yahoo Shopping, Rakuten, Mercari dan Jimoty,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan