KUCHING, 11 Mei : Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah merakamkan ucapan tahniah kepada atlet kebanggaan Sarawak, Dato Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri di atas kejayaan mereka meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-31 di Pusat Akuatik My Dinh petang tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata pencapaian tersebut amat membanggakan.
Kemenangan pingat emas kelapan acara terjun itu mengesahkan Malaysia selaku juara keseluruhan acara terjun di temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu.
Abdul Karim, yang kini berada di Hanoi, Vietnam turut menyaksikan sendiri detik kejayaan Pandelela dan rakan sepasukan, Nur Dhabitah.
Antara yang turut hadir adalah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Puan Nancy Haji Jolhi dan Ketua Pegawai Eksekutif baharu Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Encik Morshidi Frederick merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSN Sarawak). – TVS