KUCHING, 10 Mei : Skuad Piala Thomas Malaysia meneruskan rentak kemenangan dengan mudah menewaskan Amerika Syarikat 5 – 0 pada aksi kedua Kumpulan D di Impact Arena, Bangkok pada Selasa.
Walaupun menurunkan skuad kedua, Malaysia tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan dan seterusnya mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya.
Kemenangan skuad negara itu dimulakan pemain peseorangan pertama negara, Liew Darren apabila beliau menundukkan Enrico Asuncion 21 – 13 pada set pertama, dan 21 – 16 pada set kedua sekali gus memberikan mata pertama untuk negara.
Seterusnya, perseorangan lelaki kedua dan ketiga negara, Ng Tze Yong dan Aidil Sholeh tidak berdepan masalah mengatasi lawan mereka masing-masing Don Hanley Averia dan Willian Hu bagi menyumbang mata kedua dan ketiga negara.
Baca lagi > > > Piala Thomas : Aidil Sholeh berkorban demi negara dan impian
Skuad negara melengkapkan kemenangan bergaya keatas negara Uncle Sam itu apabila beregu pertama dan kedua negara, Goh Sze Fei-Chia Wei Jie dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin mudah mengatasi lawan masing-masing dalam pertarungan dua set bagi menyumbang mata keempat dan kelima negara.
Malaysia akan melengkapkan jadual perlawanan peringkat Kumpulan D dengan bertemu Jepun pada Rabu – TVS