KUALA LUMPUR, 10 Mei: Kes buli siber dengan menyerang pengguna internet sehingga ‘koyak’ menjadi isu yang semakin ketara terutamanya dalam kalangan belia.
Perbuatan membuli tanpa sempadan seperti memalukan, mengancam mahupun memburukkan identiti seseorang boleh terjadi ke atas mangsa tanpa kira usia, kaum, bangsa mahupun agama.
Doktor dari Jabatan Psikiatri Hospital Sultan Abdul Halim Dr Vasagi Sinnasamy mengesahkan isu buli siber di negara ini amat membimbangkan, lebih-lebih lagi Malaysia kini berada di tangga kedua di Asia untuk perbuatan buli siber.
Menurutnya kes buli siber terutama di media sosial semakin meningkat dengan lebih 500 panggilan diterima Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) setiap bulan, dan golongan belia adalah golongan yang kerap menjadi mangsa buli siber.
“Tempat yang kerap berlakunya buli siber adalah media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok melalui telefon, emel dan komuniti permainan video atas talian.
“Terdapat pelbagai jenis buli siber contohnya ugutan untuk menyebarkan video, berita palsu ataupun fitnah tentang sesorang dan penghantaran komen atau mesej yang menghina” katanya di sini baru-baru ini.
Tambahnya, menyalahgunakan kata laluan atau menyamar sebagai individu lain juga salah satu jenis buli siber termasuk berkongsi maklumat peribadi yang dapat memalukan individu lain tanpa kebenaran.
Perkongsian mesej, video ataupun gambar yang lucah kepada pegguna internet lain atau ‘sexting’ juga adalah tindakan yang menyalahgunakan medium elektronik.
Dr. Vasagi berkata kesan buli siber kepada mangsa tidak boleh dipandang ringan kerana mendatangkan kesan dalam aspek fizikal dan mental.
“Mangsa siber buli mengalami harga diri yang rendah dan pelbagai emosi negatif termasuklah takut, kecewa, marah ataupun tertekan.
“Dalam kes-kes kronik atau teruk, mangsa boleh mengambil langkah untuk membunuh diri” katanya.
Justeru, ibu bapa dinasihatkan agar sentiasa memerhatikan perlakuan anak-anak selepas menggunakan internet sekiranya mereka mengalami perubahan emosi, tingkahlaku atau selera makan.
Bagi mereka yang mempunyai gangguan siber, anda boleh melaporkannya kepada Agensi Cyber Security Malaysia, atau kemukakan aduan anda di Talian Kasiah di 15999 atau Mercy Malaysia di 03-2935 9935.