TAWAU, 9 Mei : Pasukan Polis Marin (PPM) di sini menahan seorang pemandu lori yang sedang leka mengisi minyak diesel ke atas sebuah lori 8 tan yang telah diubahsuai di sebuah stesen minyak Jalan Utara semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Polis Ridzauddin Selamat berkata, bertindak atas maklumat awam tangkapan itu dilakukan kira-kira jam 9.46 malam
Menurutnya, semasa menjalankan pemantauan di stesen minyak berkenaan pihaknya telah melihat sebuah lori sedang mengisi minyak diesel.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas pemandu lori warga tempatan berusia 31 tahun itu gagal menunjukkan sebarang dokumen atau permit untuk mengepam minyak diesel dan membawa barang kawalan tersebut.
“Kita juga mendapati tangki minyak lori telah diubahsuai untuk penyimpanan minyak diesel,” katanya.
Turut disita sebuah lori tangki minyak dan 600 liter minyak diesel bernilai RM 1,290.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu dalam kes berasingan seekor tenggiling yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran turut dirampas PPM di kawasan pejalan kaki CIQ Lama, Pelabuhan Tawau hari ini.
“Setelah menunggu selama 30 minit, tiada individu yang tampil mengaku memiliki kotak tersebut,” katanya.
Rampasan itu dilakukan kira-kira jam 7.30 pagi selepas pasukan ternampak sebuah kotak mencurigakan lalu melakukan pemeriksaan dan hasilnya menjumpai seekor tenggiling hidup.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997. – TVS