SEMPORNA, 8 Mei : Seorang lelaki terbunuh selepas bot tanpa lampu yang dipandunya berlanggar dengan bot lain di laut berhampiran Jeti Balimbang, Pulau Bum-Bum, di sini semalam (Sabtu).
Dalam kejadian pada kira-kira jam 7.20 malam itu, mangsa lelaki bukan warga negara berusia 50 tahun tersebut disahkan meninggal dunia selepas bertarung nyawa lebih sejam di Wad Kecemasan Hospital Semporna.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata kejadian pelanggaran bot itu melibatkan sebuah bot kecil yang dipandu mangsa dengan bot tambang yang dibawa pemandu dan dinaiki enam penumpang.
“Mangsa dari arah Pulau Bum-Bum menuju ke Pekan Semporna, manakala bot tambang dari arah bertentangan,” katanya.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh ke dalam laut tetapi berjaya ditarik oleh pemandu dan penumpang bot tambang sebelum dibawa ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan.
“Setelah lebih sejam dirawat, mangsa disahkan meninggal dunia, dan siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan lebam pada bahagian perut dan lengan kanan,” katanya.
Susulan itu, pihak polis menahan seorang suspek lelaki bukan warga negara dalam lingkungan usia 20-an yang direman selama empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi talian 089781222 atau balai polis berhampiran,” katanya.
Untuk makluman, insiden ini adalah kes kedua pelanggaran bot dalam tempoh empat hari di daerah ini. – TVS