SANDAKAN, 8 Mei : Ibu kepada empat cahaya mata, Razna Hakim, 35, sempat meluangkan masa untuk menderma darah bagi membantu golongan yang memerlukan sempena Hari Ibu pada hari ini (Ahad).
Tanggungjawab dan pengorbanan seorang ibu tidak ada batasnya dan membawa maksud yang sangat luas.
“Hari ini saya diraikan oleh keluarga sempena Hari Ibu, dan pada masa yang sama, saya juga berfikir apa yang boleh saya lakukan untuk membantu orang lain.
“Oleh itu, saya memilih untuk menjadi penderma darah buat pertama kalinya. Meskipun ada sedikit takut, tetapi saya cuba melawan dan berjaya menderma darah,” katanya ketika ditemui pada Kempen Derma Darah Sempena Hari Palang Merah/Bulan Sabit Merah Sedunia di Pusat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Sandakan.
Kempen itu merupakan anjuran BSMM Daerah Sandakan yang mendapat kerjasama daripada Unit Tabung Darah Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan.
Sementara itu, Pegawai Perubatan Jabatan Transisi HDOK, Dr Lim Shueh Wan, berkata pihaknya mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana pihak untuk menganjurkan kempen derma darah.
Tidak kira lokasi penganjuran di kawasan bandar mahupun luar bandar, pihaknya bersedia membantu penganjur untuk memastikan Unit Tabung Darah sentiasa mempunyai bekalan darah.
Meurut beliau, bermula 3 Januari hingga 1 Mei tahun ini, HDOK Sandakan bersama Hospital Beluran dan Hospital Kinabatangan telah berjaya mengumpul sebanyak 2,800 unit darah menerusi kempen derma darah yang dianjurkan secara berkala.
Manakala, HDOK Sandakan sendiri menggunakan sekurang-kurangnya 150 unit darah bagi tempoh seminggu untuk menampung keperluan perubatan
“Semasa pandemik COVID-19 melanda negara, kalau pihak kami dapat dalam lima unit darah sehari pun sudah cukup bersyukur, sebab pada masa itu memang tidak ramai yang berani untuk keluar menderma darah. Ada kalanya kami pernah pulang dengan tangan kosong.
“Oleh itu, kami berharap dengan peralihan ke fasa endemik ini, lebih ramai orang akan tampil menderma darah. Kita juga sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin menganjurkan kempen derma darah,” ujarnya lagi. – TVS