Miri, 8 Mei : FAB LAB, iaitu program residensi artis baharu akan menggabungkan pemuzik daripada pelbagai latar belakang budaya untuk meraikan muzik jazz dan memperkasakan komuniti muzik Sarawak terutamanya di Miri.
Ketua Pegawai Eksekutif, Sarawak Tourism Board (STB), Puan Sharzede Datu Salleh Askor berkata program FAB LAB adalah sejajar dengan matlamat STB untuk mempromosikan pelancongan muzik melalui festival muzik ikonik termazuk Borneo Jazz.
“Dengan menerapkan persekitaran perkongsian pengetahuan, kami berharap dapat mewujudkan budaya jazz yang mampan untuk pemuzik Sarawak serta menyediakan platform antarabangsa untuk meningkatkan pertumbuhan muzik mereka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Jelasnya Bengkel muzik dan kelas induk yang ditawarkan oleh FAB LAB bukan sahaja diharapkan dapat memupuk keyakinan dalam ekspresi malah diharap dapat berfungsi untuk merapatkan jurang antara tradisi lisan orang asli lama dengan lagu jazz dan evolusi hip-hop kontemporari.
“Saya amat percaya dalam memupuk Jazz ExChange untuk menyokong diplomasi budaya dan menggalakkan pertumbuhan mampan dalam seni komuniti tempatan,” kata Evelyn Hii, pengasas No Black Tie dan Pengarah Artistik Festival Borneo Jazz dalam kenyataan sama.
Tambahnya lagi, Program Borneo Jazz Artist Residency sememangnya akan memupuk hubungan antara artis antarabangsa dengan komuniti pemuzik di Miri, Sarawak.
‘The Fab Lab Open Day’ diadakan hari ini di Tegas Digital Innovation Hub, bermula 4 petang hingga 5.30 petang bagi membolehkan peminat muzik bertemu dengan dua pemuzik antarabangsa.
“Ia diketuai oleh Chris Stalk, pemain saksofon, komposer dan ‘arranger’ dari Perancis dan Jules Vulzor, pemain bass, DJ dan penghibur dari Switzerland.
“Program ini bagi membolehkan peminat muzik bertemu dengan dua pemuzik antarabangsa serta merasa sendiri sebelum bermula pada 9 Mei hingga 18 Jun 2022. ” tambahnya.
Butiran mengenai bengkel dikongsikan kepada peserta semasa sesi pendaftaran ‘The Fab Lab Open Day’.
FAB LAB bertujuan memperkasa dan menaikkan lagi semangat pemuzik sebelum festival Jazz Borneo melalui empat bengkel iaitu Music Appreciation – Listen and Make It Your Own; Methodology – How to FEEL Free Playing Music; Sound Engineering- Make It Sound Good! , dan Performance Module- Let’s Play.
“Festival Borneo Jazz nanti akan terus membina ekosistem pelancongan muzik di Miri bagi menjadikan ia bandar peranginan, pusat kebudayaan dan muzik.” katanya.- TVS