BINTANGOR, 8 Mei : Dua pemandu selisih maut apabila kenderaan jenis Perodua Myvi dan Toyota Corolla yang dinaiki mereka bertembung di Jalan Kelupu di sini pada petang tadi (Ahad).
Insiden yang berlaku sekitar jam 2.10 petang itu mengakibatkan kedua-dua mangsa, yang masing-masing berusia 34 dan 48 tahun, mengalami kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Penolong Penguasa Bomba Nicholas Belulin, berkata ketika kejadian, kedua-dua pemandu terbabit tidak membawa penumpang.
Menurutnya, bomba bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 2.15 petang.
“Bagaimanapun sebaik bomba tiba di lokasi, kedua-dua mangsa telah pun berjaya dibawa keluar dari kenderaan dengan bantuan orang ramai yang kebetulan berada di kawasan kejadian.
“Salah seorang pemandu mengalami sakit pada bahagian dada manakala seorang lagi hanya mengalami luka kecil. Kedua-duanya dibawa ke Klinik Kesihatan Bintangor dengan menaiki kenderaan orang awam,” katanya ketika dihubungi.
Nicholas berkata, salah sebuah kenderaan terbabit dipercayai dalam perjalanan dari arah Sarikei menghala ke Sibu sebelum kedua-duanya bertembung di lokasi kejadian.
Tiada operasi kebombaan dijalankan di lokasi kejadian namun pasukan bomba bersama-sama anggota polis dan RELA membantu mengalihkan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu ke tepi jalanuntuk mengelak kesesakan lalu lintas.
“Setelah memastikan keadaan di lokasi terkawal dan selamat, pasukan bomba bertolak balik ke balai,” ujarnya. – TVS