PUTRAJAYA, 7 Mei : Kerajaan Malaysia tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan dengan pihak Rusia berkaitan penerbangan terus antara kedua-dua negara oleh syarikat penerbangan Rusia, Aeroflot selain eksport semikonduktor dan elektronik ke negara itu.
Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata sebagai sebuah negara yang terlibat dengan perdagangan antarabangsa, Malaysia terbuka kepada mana-mana syarikat penerbangan untuk beroperasi di negara ini.
Pada masa sama eksport semikonduktor dan elektronik juga tidak melibatkan sebarang perbincangan atau hubungan antara kerajaan kedua-dua negara dan sebaliknya ia lebih kepada hubungan sektor perniagaan.
“Saya nak jelaskan ini kerana bimbang nanti ada mana-mana pihak yang salah faham dan kepentingan Malaysia mungkin terjejas,” katanya kepada media dalam satu temu bual di pejabatnya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menyangkal laporan Agensi Berita Sputnik pada penghujung April yang memetik Duta Malaysia ke Rusia Datuk Bala Chandran Tharman sebagai berkata Aeroflot akan mengadakan penerbangan terus antara St.Petersburg atau Moscow dan Kuala Lumpur tidak lama lagi.
Dalam laporan itu, Bala Chandran juga dipetik berkata Malaysia akan mempertimbang peluang untuk menjual semikonduktor dan elektronik kepada Rusia selain institusi kewangan Malaysia sedang mengkaji sistem pemesejan kewangan Rusia dengan terperinci dan bersedia menyertainya jika memenuhi beberapa kriteria.
Saifuddin berkata pihaknya juga telah meneliti laporan berita itu dan mendapatkan maklum balas daripada Bala Chandran dan didapati ada perkara-perkara yang disebut dalam temu bual itu telah dipetik di luar konteks.
Berikutan laporan Sputnik itu, beberapa media asing melaporkan yang tindakan Malaysia itu membelakangkan sekatan ekonomi antarabangsa terhadap Rusia kerana konfliknya dengan Ukraine.
Sekatan yang dikenakan oleh negara-negara Barat khasnya turut melarang eksport semikonduktor ke Rusia. – TVS