Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Kuda Kepang, seni warisan yang semakin dilupakan

ByBernama

MUAR, 7 Mei : Kuda Kepang, seni warisan yang sudah beratus tahun lamanya bertapak di Malaysia kini ‘tenggelam’ selepas semakin kurang golongan penerus yang sanggup mempelajarinya.

Ini tambahan selepas seni dikembangkan penghijrah Ponogoro ke Semenanjung Tanah Melayu ketika itu dan banyak diamalkan di lokaliti orang Jawa dalam negara, terutama di Johor, difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada 2009 untuk amalan tarian atau dramatarinya.

Bagaimanapun, generasi lama yang ditemui masih ‘sayang’ dan meneruskan sekurang-kurangnya tradisi pembuatan boneka kuda kepang yang turut dijual sebagai cenderamata.

Shuhadak Dolah, 62, yang telah berkecimpung dalam seni pembuatan dan permainan Kuda Kepang lebih 40 tahun, masih meneruskan legasi sehingga kini atas dasar minat yang mendalam terhadap warisan unik dari negara jiran itu.

Menurutnya, terdapat tiga jenis Kuda Kepang iaitu yang diperbuat daripada papan lapis, kulit lembu, serta anyaman buluh tali dan kesemua bahan itu dibuat berdasarkan fungsi masing-masing.

“Tapi paling baik adalah kulit lembu dan anyaman buluh. Untuk permainan tarian kuda kepang yang lasak, kita gunakan kulit lembu sebab ia tahan lasak. Tetapi kelemahannya, selepas bermain harus dibersihkan daripada kekotoran dan dijemur supaya tidak cepat reput.

“Kalau Kuda Kepang jenis anyaman buluh tali lebih sesuai untuk tarian kurang lasak selain boleh juga dijadikan sebagai kraftangan dan hiasan. Permainan lasak tidak sesuai menggunakan Kuda Kepang jenis anyaman buluh sebab akan cepat patah.

“Kuda Kepang papan lapis ada juga dipakai tapi jarang sebab ia berat dan bahaya. Orang dulu yang tidak pandai menganyam akan pakai papan lapis,” katanya ketika ditemui di bengkel membuat Kuda Kepang miliknya di Kampung Sungai Pulai, Parit Jawa, di sini baru-baru ini.

Untuk anyaman buluh tali, Shuhadak, atau lebih mesra disapa sebagai Wak, mengambil masa sekurang-kurangnya enam hari untuk menyiapkan satu Kuda Kepang bersaiz besar dan kerja itu memerlukan tahap ketelitian dan kesabaran tinggi kerana ia sangat rumit.

Terdapat tiga jenis anyaman buluh tali Kuda Kepang iaitu kelerai, langkah dua, serta langkah tiga dan masing-masing mempunyai tahap kerumitan dan motif corak tersendiri.

Untuk anyaman Kelerai, beliau menyifatkan ia sebagai paling rumit untuk dihasilkan kerana seninya yang berkotak-kotak seakan tikar itu dan lebih sesuai dibuat perhiasan berbanding dalam permainan.

Lain pula anyaman langkah dua dan langkah tiga, selain boleh dibuat perhiasan ia lebih sesuai digunakan dalam permainan. Bagaimanapun, untuk menghasilkan corak anyaman ini tidaklah serumit kelerai, namun perlu teknik betul dan teliti.

“Anyaman langkah dua kebiasaannya orang buat. Ia rumit juga dan menggunakan teknik betul dan kalau tidak sabar buluhnya boleh patah. Untuk langkah tiga juga coraknya cantik dan ia mempunyai susunan yang rapat.

“Tetapi untuk buat semua ini jangan sampai salah langkah, walaupun langkah dua ataupun langkah tiga kerana kalau satu baris anyaman salah, keseluruhan anyaman itu akan ikut salah kecuali kalau sudah dibetulkan satu daripadanya, baru selepas itu semua betul,” katanya.

Selain anyaman sebagai bahan utama Kuda Kepang, Shuhadak turut menggunakan rotan sebagai bingkai, tali tangsi untuk mengikat badan dan bingkai, cat untuk mewarnakan corak, serta pokok kabung yang dijadikan sebagai bulu patung.

Kuda Kepang buatan Shuhadak boleh didapati dengan harga bermula RM40 hingga RM250 bergantung kepada saiz dan bahan digunakan. –TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan