KUCHING, 5 Mei : Sarawak tetap berpegang kepada pendirian agar satu formula diwujudkan bagi menentukan pemberian khas daripada kerajaan persekutuan kepada negeri ini di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata peranan formula amat penting, terutamanya untuk membolehkan kerajaan negeri membuat pertimbangan berhubung kedudukan kewangan kerajaan persekutuan.
“Dengan adanya formula, saya menetapkan prinsip yang mana sekiranya kedudukan kewangan negara dalam keadaan yang baik, maka ia seharusnya dikongsi bersama. Namun, sekiranya keadaan berlaku sebaliknya, maka kita seharusnya bersama-sama menanggung beban yang ada.
“Kita tidak boleh menetapkan mana-mana jumlah kerana kita juga menyedari pertimbangan kedudukan kewangan kerajaan persekutuan,” katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri DUN N26 Gedong di salah sebuah hotel di Kuching di sini hari ini.
Tambahnya sebagai sebuah negeri yang praktikal dan pragmatik mengenai hasil yang diperolehi negara, Abang Johari percaya formula baharu dan berkesan merupakan langkah terbaik untuk pemberian khas kepada negeri ini.
Beliau, yang juga ADUN Gedong, berkata formula itu kini sedang dalam rundingan bersama kerajaan persekutuan dan Sarawak amat serius mengenai formula itu. – TVS