SIBU, 6 Mei : Seorang lelaki tersepit dan mengalami kecederaan parah dalam satu kemalangan membabitkan dua buah lori treler di sini pada petang semalam (Khamis).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah, Timbalan Penguasa Bomba II Mutalif Ja’afar, berkata pasukannya bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada jam 3.24 petang.
Kemalangan itu berlaku di Kilometer 5, Jalan Wawasan, dan memperlahankan pergerakan lalu lintas selama 45 minit.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, pihak bomba mendapati telah berlaku kemalangan yang melibatkan sebuah lori treler membawa kontena dan sebuah lori treler yang membawa simen, dipercayai bertembung dari arah bertentangan.
“Akibat daripada rempuhan itu, seorang mangsa berusia 49 tahun, yang membawa lori treler kontena, tersepit manakala pemandu lori treler yang membawa simen, berusia 55 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi TVS.
Menurutnya, pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat khas dan diberi rawatan awal.
Operasi menyelamat yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Faizal Bujang, bersama lapan anggota lain tamat pada jam 4.02 petang. – TVS