SARIKEI, 4 Mei : Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas memasuki kawasan hutan nipah di Jalan Sentebu di sini, ditemui meninggal dunia oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 1.41 petang tadi.
Mayat Chee Hui Kiong, 36, ditemui dalam keadaan duduk menyandar pada pokok nipah iaitu kira-kira 33.2 meter dari jalan utama.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Penolong Penguasa Bomba, Mahmudin Narudin berkata, ketika ditemui terdapat kesan luka pada lengan sebelah kiri dan luka di bahagian leher.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis pada pukul 2.10 petang untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Setakat ini katanya, punca kecederaan mangsa masih belum diketahui dan pihaknya sedang menunggu laporan rasmi daripada pihak polis.
Mangsa dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya selepas keluar seorang diri pada pukul 5.30 petang Selasa.
Kehilangan mangsa disedari penduduk yang menjumpai dompet dan telefon bimbitnya sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada anggota keluarga mangsa.
Berikutan penemuan itu, operasi SAR ditamatkan pada jam 2.20 petang. – TVS