SARATOK, 4 Mei : Keluarga kanak-kanak kurang upaya (OKU) yang rentung dalam satu kebakaran di Kampung Hulu berhampiran Jalan Abang Haji Puteh di sini telah menerima bantuan kewangan daripada Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju.
Beliau menyampaikan bantuan tersebut kepada wakil keluarga mangsa, Mat Ali Maliki, 47, ketika beliau melawat tapak kebakaran di sini pada Selasa.
“Kita memberi bantuan awal kepada mangsa kebakaran ini berjumlah RM10,000 daripada pusat khidmat untuk digunakan bagi apa jua kerja pembinaan buat sementara waktu.
Baca > > > Kanak-kanak OKU rentung dalam kebakaran
“Bantuan lain seperti jabatan Kebajikan memang sudah ada menyusul, termasuk bantuan dari Pejabat Daerah terutamanya bantuan bencana yang ada pada kerajaan negeri Sarawak,” katanya.
Beliau, yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan sumber Asli, menyifatkan insiden kebakaran pada 30 April itu sebagai satu dugaan besar bagi keluarga mangsa dalam kesibukan membuat persiapan Syawal.
Sementara itu, bagi Mat Ali Maliki, ayah kepada allahyarham adik Aleeya Binti Mat Ali, 12, kanak-kanak OKU yang rentung dalam kejadian tersebut, menzahirkan kesyukuran atas bantuan yang diberikan
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, Kho Boo Jang, berkata rumah tersebut musnah sepenuhnya dan lima penghuni lain terselamat dalam insiden itu. – TVS