KOTA KINABALU, Sabah 4 Mei : Ketua delegasi penggiat budaya Iban, Peter John Jaban, berkata mereka bercadang untuk mengadakan jelajah ke Semenanjung Malaysia dalam masa terdekat.
Menurut Peter, mereka berada di Kota Kinabalu untuk mempromosikan adat dan budaya orang asal Sarawak.
“Ya, kami ada perancangan untuk terbang, mungkin dalam satu penerbangan, dengan mungkin antara 200 hingga 500 orang atau juga mungkin 1,000 orang. Kita tidak tahu kerana ia bergantung kepada sambutan, dan sudah tentu ia juga bergantung kepada siapa yang mahu menaja kami.
“Harap kerajaan negeri dapat menyediakan dana untuk menaja penerbangan, tempat penginapan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui TVS semalam (Selasa) di Monaruli Garden Resort, Penampang.
Sehubungan itu, Peter juga berharap kerjasama di antara kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dapat dibina melalui sektor pelancongan untuk mempromosi adat, kesenian dan kebudayaan di Pulau Borneo.
“Apabila kita bercakap mengenai Sabah dan Sarawak, rakyat ataupun orang asalnya sudah berkomunikasi dan bergabung.
“Oleh itu, saya berharap Kementerian Pelancongan di Sabah dan Sarawak dapat berkomunikasi antara satu sama lain. Mungkin kementerian di Sabah boleh bawa orang Sabah ke Sarawak seperti kami sekarang yang berpeluang menjelajah ke Sabah untuk mempamerkan budaya dan tradisi kami dan sebagainya,” katanya.
Lebih kurang dua hari lepas, sebuah video tular di laman sosial yang menunjukkan 60 orang asal Sarawak berpakaian ‘sirat’ dan berkaki ayam menaiki penerbangan ke Sabah untuk mempromosi budaya Iban.
Delegasi yang terdiri daripada 72 peserta itu memakai pakaian tradisional etnik Iban yang dikenali sebagai sirat.
Para peserta merupakan etnik Iban dari seluruh Sarawak dan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Dayak di Sarawak.
Selain Kota Kinabalu, rombongan tersebut turut melawat beberapa daerah lain di Sabah seperti Tenom, Keningau dan Tambunan. – TVS