KOTA BHARU, 3 Mei : Umat Islam khusus rakyat Kelantan yang belum membayar zakat fitrah pada bulan Ramadan lepas, wajib qada zakat fitrah walaupun telah lewat daripada waktu ditentukan.
Imam Masjid Bandar Kuala Krai Armin Azahari Mamat berkata hal ini kerana terdapat lima perihal hukum mengenai peringatan waktu untuk seseorang umat Islam yang merdeka iaitu golongan tua atau muda, lelaki atau perempuan dan berakal untuk membayar zakat fitrah.
“Hukum harus bermula dari awal bulan Ramadan sehingga akhir bulan Ramadan manakala wajib selepas terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan.
“Selain itu, hukum afdal selepas solat Subuh pada hari akhir Ramadan sehingga sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Mengulas lanjut, Armin berkata waktu makruh adalah selepas solat sunat Aidilfitri sehingga sebelum terbenam matahari dan waktu haram pula selepas terbenam matahari pada Aidilfitri.
“Oleh itu, memandangkan baru-baru ini umat Islam menjangkakan 1 Syawal jatuh pada 3 Mei (hari ini), mungkin ramai yang tidak sempat untuk membayar zakat fitrah pada akhir Ramadan lepas.
“Saya seru semua umat Islam supaya segera menunaikan kewajipan ini, jangan tangguh atau tunggu Ramadan tahun depan untuk membayarnya kerana berdosa sekiranya tidak melaksanakanya,” katanya.
Armin berkata sekiranya terdapat individu membayarnya selepas solat sunat Aidilfitri ia dikira sebagai sedekah kerana tiada denda yang khusus sekiranya tidak menunaikan kewajipan itu, namun kepada pelakunya, banyakkanlah beristighfar kepada Allah SWT.
“Zakat fitrah dibayar untuk kita berkongsi kepada orang yang memerlukan (fakir dan miskin) bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya yang menambah boleh membayar terus kepada golongan fakir dan miskin. – TVS