Foto: Faitullah Morni
KUCHING, 3 Mei : Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, yang bermula pada jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang hari ini dihadiri ribuan tetamu daripada pelbagai latar belakang.
Abang Johari berkata majlis terbuka yang diadakan adalah satu permulaan yang baik agar dapat hidup normal setelah dua tahun berdepan dengan pandemik COVID-19.
“Hari ini saya menerima semua lapisan masyarakat dan mereka telah menyatakan kegembiraan mereka dengan apa yang sedang dilaksanakan kerajaan dalam proses pemulihan yang dijalankan.
“Saya yakin selepas ini ekonomi kita akan berkembang, kegiatan ekonomi akan terus berjalan lancar dan saya yakin pemulihan akan berlaku dengan lebih cepat,” katanya.
Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, turut mengunjungi rumah terbuka Abang Johari kira-kira pada jam 1.00 tengah hari.
Turut hadir, Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian serta barisan menteri dan timbalan menteri. – TVS