Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dua remaja lelaki terbunuh selepas terjatuh ke dalam laut disebabkan pondok jeti tempat mereka berkumpul pada Syawal pertama runtuh di Kg Gading-Gading, Semporna

Jeti runtuh, dua maut di Semporna

SEMPORNA, 3 Mei : Dua remaja lelaki terbunuh selepas mereka terjatuh ke dalam laut apabila pondok jeti di mana mereka berkumpul pada Syawal pertama runtuh di Kpg Gading-Gading di sini.

Dalam kejadian jam 4.17 petang Isnin itu, dua remaja terbabit yang masing-masing berumur 14 dan 19 tahun disahkan meninggal dunia pada jam 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan daripada anggota Puskom Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang memaklumkan jeti yang terletak berhampiran pos PGA telah runtuh.

Menurutnya, ketika kejadian, terdapat lapan remaja bukan warga negara berada di dalam pondok jeti berkenaan sebelum mereka terjatuh ke dalam laut.

“Enam daripada mereka, iaitu empat lelaki dan dua perempuan berumur 11 hingga 19 tahun, berjaya diselamatkan pihak polis dengan bantuan penduduk kampung,” katanya.

Beliau memberitahu, dua remaja lelaki berkenaan pada mulanya dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas.

“Susulan daripada itu, satu usaha mencari dan menyelamat (SAR) telah dijalankan oleh seorang pegawai dan lima anggota PGA sebelum kedua-duanya ditemukan pada jam 4.30 petang hari sama,” katanya.

Kedua-dua mereka, kata Mohd Farhan, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri lalu diberi bantuan kecemasan pernafasan namun disahkan meninggal dunia oleh doktor yang bertugas.

Pihak polis, katanya, mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

Siasatan ke atas punca bagi keruntuhan jeti kampung berkenaan masih dalam siasatan.

“Sebarang maklumat berkenaan kejadian jeti runtuh tersebut boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, SM Nikan Anak Najin, di talian 016-5632379,” katanya lagi.

Mohd Farhan dalam pada itu menasihatkan semua jawatankuasa kampung supaya membuat pemeriksaan ke atas jeti di kampung masing-masing untuk memastikan keselamatan pengguna. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan