Foto: Polis Semporna
SEMPORNA, Sabah 3 Mei: Seorang wanita keguguran manakala suaminya cedera dalam insiden pelanggaran dua buah bot di perairan laut hadapan Dragon Inn di sini semalam (Isnin).
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata kejadian itu berlaku kira-kira pada jam 2.00 petang ketika pasangan suami isteri tersebut sedang menaiki bot dari Pekan Semporna menuju ke Kpg Hayang, Pulau Bum-Bum.
“Semasa tiba di perairan laut di hadapan Dragon Inn, bot mereka telah berlanggar dengan sebuah bot yang dikemudikan oleh seorang lelaki dalam lingkungan umur 20-an.
“Susulan pelanggaran itu, kedua-dua mangsa jatuh ke dalam laut dan berjaya diselamatkan oleh orang awam lalu dihantar ke Hospital Semporna sebelum dirujuk ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, mangsa lelaki bukan warga negara berumur 34 tahun mengalami kecederaan pada bahagian paha kiri dan lutut kanan dipercayai terkena kipas bot.
Manakala isterinya, seorang warga tempatan berumur 22 tahun, mengalami keguguran kandungan yang berusia 25 minggu.
“Kedua-dua mangsa masih dirawat di Hospital Tawau dan dalam keadaan stabil manakala suspek melarikan diri dan usaha mengesannya kini sedang giat dijalankan,” ujarnya.
Mohd Farhan berkata, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 280 Kanun Keseksaan.
“Kita memohon orang ramai yang melihat kejadian itu untuk tampil menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Nur Faez Hazreeq di talian 019-8139851 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya lagi.
Mohd Farhan dalam pada itu menasihatkan pemilik bot supaya berhati-hati ketika mengendalikan bot, terutamanya di kawasan yang sibuk, selain menyediakan peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan. – TVS